Pengetahuan Pedagogi Isi Kandungan ( PPIK/PCK ) boleh didefinisikan dari pelbagai aspek. Pedagogi itu sendiri mempunyai maksud dari perspektif Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), iaitu kajian tentang kaedah dan prinsip pengajaran. Sebaliknya, menurut Concise Encyclopedia Britannica, pedagogi merupakan suatu seni pengajaran yang melibatkan penggunaan kaedah dan teknik mengajar. Seterusnya, pengetahuan adalah sesuatu yang diketahui berkaitan dengan proses pembelajaran. Proses belajar ini dipengaruhi berbagai faktor dari dalam seperti motivasi dan faktor luar berupa sarana informasi yang tersedia serta keadaan sosial budaya.
Menurut Tengku Zawawi (2009), pengetahuan pedagogi isi kandungan melibatkan
analogi, contoh, penerangan dan demontrasi yang efektif, di samping mengambil
kira latar belakang pelajar. Sebaliknya, menurut Shulman (1987),pengetahuan
pedagogi isi kandungan ialah :
“Satu jenis pengetahuan yang unik bagi
seseorang guru dan ia berdasarkan kepada guru mengaitkan pengetahuan pedagogi
(pengetahuan tentang cara mengajar) yang dimiliki kepada pengetahuan isi
kandungan (apa yang perlu diajar). Integrasi kedua-dua jenis pengetahuan
tersebut menghasilkan pengetahuan pedagogi isi
kandungan.”
Pengintegrasian komponen-komponen PPIK
yang seimbang menghasilkan PPIK guru yang mantap. Guru memerlukan PPIK yang
mantap untuk menghasilkan P&P yang berkesan. Pengajaran guru yang berkesan
dapat meningkatkan kefahaman pelajar sehingga berlakunya perubahan tingkah laku
pada pelajar (Norasmah Othman & Shuki Osman, 2009). Antara
komponen-komponen PPIK yang diperlukan oleh guru ialah Pengetahuan Isi
Kandungan (PIK) subjek, Pengetahuan Pedagogi (PP) subjek, Pengetahuan Terhadap
Pelajar (PTP), dan Kepercayaan Guru Terhadap Ciri-Ciri Subjek serta Pendekatan
Pengajarannya (KCSPP) (Abdul Aziz Abd Kadir, 2008; Zaidah Yazid, 2005). Kesemua
komponen-komponen ini berintegrasi semasa pengajaran untuk menghasilkan
pengajaran yang mudah difahami oleh pelajar.
No comments:
Post a Comment